Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Saturday, December 15, 2012

PR1MA - Rumah Mampu Milik Di Johor

8,000 rumah PR1MA di Johor Bahru

Johor Bahru: Sejumlah 8,000 unit rumah mampu milik akan dibangunkan menerusi Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Johor Bahru.

Projek berkenaan bagi menampung permintaan yang tinggi daripada kumpulan berpendapatan sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata pihaknya sedang menilai kesesuaian tanah persekutuan dan negeri di sini yang dikenal pasti untuk tujuan itu.

“Tanah dikenal pasti itu terletak di Larkin, Tampoi, Kulaijaya, Plentong dan Pasir Gudang,” katanya.

Abdul Mutalib berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pendaftaran PR1MA bagi Pembangunan Nusantara Prima di Nusajaya semalam.

Permintaan tinggi

Permintaan untuk rumah mampu milik di Johor tinggi, dan jika digabungkan dengan Kuala Lumpur dan Selangor, ia membabitkan 60 peratus daripada permintaan diterima dari seluruh negara.

Katanya, jika tanah itu tidak sesuai, PR1MA akan mengenal pasti tanah lain, termasuk milik pemaju swasta.

Beliau berkata PR1MA akan berunding dengan pemaju swasta untuk melihat sama ada mereka boleh menyediakan rumah mampu milik dalam projek masing-masing.

Mengenai pendaftaran Nusantara Prima, beliau berkata orang ramai boleh melakukannya secara dalam talian di www.pr1ma.my dan proses pengundian akan dilakukan kemudian.

Sejumlah 201 rumah mampu milik dibangunkan oleh Denia Development Sdn Bhd, yang juga sebahagian daripada 1,300 unit perumahan di Nusantara Prima, projek usaha sama dengan UEM Land Holdings Bhd, yang juga pemilik tanah.

Tuesday, November 27, 2012

Bandar DiRaja Johor dihias indah

Muar diisytiharkan sebagai Bandar DiRaja oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 5 Februari lalu sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri Johor yang diadakan di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di bandar itu.

Ketika membuat perisytiharan itu, Sultan Johor meminta penduduk di bandar ini bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitarannya.

Titah baginda, tanggungjawab itu tidak boleh hanya dipikul sendirian oleh pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Pada majlis itu, Sultan Johor bertitah, sesungguhnya Allah menyukai kebersihan dan mengasihi mereka yang sentiasa mengutamakan kebersihan dalam kehidupan.

Walaupun menyedari sesetengah pihak menggelarkan Muar sebagai bandar pencen, baginda menyifatkan suasana bandar ini sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan.

Keistimewaan bandar ini yang terletak di muara Selat Melaka dan di tepi Sungai Muar mewujudkan pemandangan indah, selain banyak bangunan lama yang dibina sekitar 1920-an, menjadikan Sultan Johor sering berangkat mencemar duli ke bandar berkenaan.

Muar yang kini berusia lebih 100 tahun dibuka pada 1884, sebelum dinamakan sebagai Bandar Maharani oleh Sultan Abu Bakar pada 1895 sempena nama Maharani Fatimah yang kemudian dikenali sebagai Sultanah Fatimah.

Kini, 125 tahun selepas moyang baginda menamakan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani, Sultan Johor memberi pengiktirafan dengan mengisytiharkannya sebagai Bandar Diraja Johor.

Plat WWW 1 milik Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memenangi bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 dengan nilai RM520,000, harga tertinggi bagi siri nombor pendaftaran WWW.

Selain baginda, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berada dalam senarai lima pembida tertinggi selepas memenangi nombor pendaftaran WWW 5 dengan harga RM220,000. Keputusan bidaan nombor pendaftaran itu dimuat naik dalam laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam. Bidaan itu dibuka selama 15 hari bermula 30 April lalu hingga 14 Mei lalu. Tiga lagi pembida tertinggi adalah syarikat One Power International Sdn Bhd bagi nombor pendaftaran WWW 3 dengan harga RM360,000, Aspen Sunrise Sdn Bhd bagi WWW 9 (RM350,000) dan Lim Yan Hai bagi WWW 8 (RM280,500).

Nombor pendaftaran WWW 333 menerima bidaan terbanyak iaitu 84 dan dimenangi Titan Pristine Sdn Bhd dengan harga RM110,036.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Mohd Nadzri Osman, berkata keputusan bidaan berkenaan merangkumi 4,908 nombor dalam siri WWW yang dibida.

“Sementara itu, baki 5,091 akan menjadi nombor semasa apabila siri WWW dibuka untuk pendaftaran bermula 15 Jun ini,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata nombor pendaftaran WWW 1 mencatatkan tawaran bidaan tertinggi sehingga kini, mengatasi rekod dicatatkan MCA 1 pada 2010 yang dijual pada harga RM300,100.

Sebanyak 18,243 permohonan dengan nilai bidaan RM64,225,838.51 diterima sepanjang tempoh bidaan dibuka dan kutipan hasil daripada pembida berjaya dianggarkan berjumlah RM11.3 juta, iaitu 10 kali ganda daripada kutipan biasa untuk jualan nombor pendaftaran siri lain sebelum ini.

Sultan Johor ditabal 2014

Johor Bahru: Istiadat Pertabalan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Sultan Johor kelima akan disempurnakan pada 2014.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, tarikh pertabalan yang sebelum ini dijangka pada tahun depan terpaksa dilanjutkan berikutan Istana Bukit Serene, Istana Garden dan Istana Besar masih dalam kerja ubah suai.

Sultan Johor beri pingat tidak minta imbuhan

Sultan Johor beri pingat tidak minta imbuhan
Sultan Ibrahim bertitah rakyat usah terpedaya: Mokhtar


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dan tertipu dengan mana-mana individu yang mengaku mempunyai hubungan dengan baginda, sambil menawarkan darjah kebesaran serta pingat negeri ini sebagai balasan terhadap sumbangan dan imbuhan kewangan yang dibuat.

Titah Sultan Ibrahim itu disampaikan menerusi Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, yang menegaskan baginda tidak mengurniakan darjah kebesaran serta pingat negeri ini, menerusi proses imbuhan atau sumbangan kewangan. Mohd Mokhtar berkata, Sultan Ibrahim bertitah yang baginda juga tidak pernah memberi kuasa serta melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pemberian darjah kebesaran dan pingat negeri ini dengan imbuhan. Jangan percaya secara membuta tuli, sebaliknya dapatkan kesahihan daripada pihak Istana Johor, jika ada pihak atau individu menawarkan anugerah kebesaran dengan menuntut imbuhan atau bayaran tertentu.

Tuanku tidak mahu rakyat ditipu dan terpedaya dengan pujukan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaku mereka adalah orang istana, katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, penipuan secara menjaja nama Sultan Ibrahim itu terbongkar selepas seorang ahli perniagaan kerugian RM41,000 akibat ditipu seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Ahli Jemaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tuanku Temenggong Ahmad, bagi men-dapatkan gelaran 'Datuk' dan sebidang tanah.

Beliau berkata, ahli perniagaan berusia lingkungan 40-an terbabit, hanya menyedari menjadi mangsa penipuan selepas bertemu sendiri dengan Tunku Osman sebenar.

Mangsa dihubungi seorang lelaki pada Ogos lalu mendakwa dirinya sebagai orang istana dan mahu menawarkan anugerah Datuk dengan imbuhan kewangan. Gembira dengan tawaran itu, mangsa bersetuju dan memberi imbuhan secara tunai beberapa kali kepada suspek sehingga mencapai jumlah RM41,000 dalam masa dua bulan.

Namun, akhir November lalu, mangsa berjumpa dengan Tunku Osman yang sebenar sebelum menyedari yang dia menjadi mangsa penipuan, sebelum membuat laporan polis, katanya.

Mohd Mokhtar berkata, susulan laporan yang diterima, Polis Johor sudah menahan reman seorang lelaki untuk membantu siasatan kes penipuan terbabit.

Sebelum ini, dalam satu lagi kes berasingan, seorang lelaki dan wanita ditahan Polis Johor di Nusajaya dan didakwa di mahkamah atas tuduhan menyamar sebagai pegawai kastam untuk meminta derma kononnya sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada bulan lalu.

Anakanda Sultan Johor jadi polis

Anakanda Sultan Johor jadi polis - Tunku Abdul Jalil sedia kerja di pedalaman

KUALA LUMPUR: “Di mana pun saya dihantar bertugas, saya akan terima walaupun di kawasan kampung tetapi mungkin pada peringkat awal ini, saya akan berada di Johor dulu,” kata Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang tamat latihan Inspektor Percubaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam. Beliau berkata, kerjaya polis memang diminatinya sejak kecil, malah menghargai khidmat diberi anggota polis untuk kerabat diraja, rakyat dan negara sejak sekian lama. Berikutan itu, katanya, sudah tiba masanya PDRM mendapat tumpuan dan sokongan daripada kerabat diraja pula.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi polis, tetapi hanya pada usia 22 tahun dan selepas tamat pengajian dalam bidang zoologi dan konservasi dari universiti di United Kingdom (UK), barulah saya mampu menjadikannya kenyataan.

“Sepanjang menjalani latihan, cabaran paling sukar dihadapi adalah bersabar kerana setiap kesalahan yang kami lakukan akan dikenakan hukuman. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berupaya mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama pasukan,” katanya.

Tunku Abdul Jalil mengetuai 959 pelatih Inspektor yang lain, sebagai Pegawai Pemerintah Baris dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Inspektor Siri 1 Tahun 2011, di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, semalam.

Upacara pentauliahan dirasmikan Sultan Johor ini turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sultan Johor menyampaikan Sijil Tamat Latihan Asas dan hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan, V Vijay, Anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Masna Syamsul dan Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Firdaus Alshaari dan Nor Nazahiyah Mohamad.

Sementara itu, Ismail berkata, Latihan Asas Inspektor Percubaan kali ini yang pertama dalam sejarah kepolisan negara dengan 960 pelatih Inspektor Percubaan menjalani latihan serentak dalam satu sesi.

Beliau turut memberi ingatan kepada pelatih mengenai cabaran utama dihadapi PDRM masa kini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat.

Thursday, November 22, 2012

404 disenarai penerima pingat Johor

Johor Bahru: Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai 404 penerima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, hari ini.

Tunku Tun Aminah bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar, menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).

Sempena keputeraan ke-54 tahun ini, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima.

Mereka adalah Pengarah Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Brigadier Jeneral Effendi Ab Karim; Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahman.

Seramai 16 menerima anugerah Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) termasuk Pegawai Kewangan negeri, Marsan Kassim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (II) Pengurusan, Norizan Kulob.

Penerima lain anugerah itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Burhan Amin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Pengarah Unit Perancang Ekonomi Johor, Elias Hasran.

Turut menerima SMJ ialah pegawai daerah di Johor iaitu Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar), Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulaijaya), Amran Abdul Rahman (Johor Bahru), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat) dan Ab Han Ramin (Ledang).

Penerima lain SMJ ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Chong Chee Han dan kakitangan Istana Pasir Pelangi, Ali Ismail.

Selain itu, seramai 28 menerima Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan 91 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III).

Istiadat kurniaan semua darjah dan pingat terbabit dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar, mulai jam 8 pagi ini.

Monday, October 29, 2012

Johor bersiap hadapi banjir

Ledang: Kerajaan Johor mula menghantar bekalan makanan kepada penduduk di kawasan pulau dan pedalaman negeri ini yang sering terputus hubungan akibat banjir sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pihaknya sudah memilih kedai yang akan membekalkan makanan bagi memastikan penduduk terbabit bencana itu tidak terputus bekalan.

Kita sudah mengenal pasti tempat untuk dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir dan melengkapkan segala kemudahan logistik supaya bantuan kepada mangsa banjir mudah dilakukan, katanya selepas majlis Korban Perdana Parlimen Ledang, di sini semalam.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri menerima maklumat daripada Jabatan Meteorologi mengenai ramalan kadar hujan di negeri ini yang dijangka lebih tinggi daripada paras biasa tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terkini mengenai ramalan cuaca dari jabatan berkenaan dari semasa ke semasa untuk panduan.

Katanya, semua penduduk di kawasan yang mudah dinaiki air dinasihatkan lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan dan mereka perlu segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, 31 daripada 43 lembu yang diperuntukkan bagi program korban sempena Aidiladha disembelih di kawasan masjid terbabit.

Pada majlis itu, Abdul Ghani yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang menerima sumbangan tujuh lembu dan bayaran zakat RM35,000 daripada Bank SME untuk disalurkan kepada penduduk di lima kampung.

BERNAMA

Monday, October 15, 2012

Iskandar Malaysia lonjak pelancongan Johor

Johor Bahru: Jumlah kedatangan pelancong ke Johor dijangka mengalami lonjakan luar biasa dengan adanya produk pelancongan baru di Iskandar Malaysia yang berorientasikan keluarga serta menepati selera semua peringkat usia.

Pengarah Jabatan Pelancongan Johor, Md Za’nal Misran, berkata Iskandar Malaysia dilengkapi prasarana serta kemudahan yang membolehkan industri pelancongan negeri ini menyediakan pelancongan keluarga, pelancongan pendidikan dan pelancongan kesihatan yang lengkap segala-galanya di satu lokasi. “Selama ini, sektor pelancongan di Johor begitu banyak bergantung pada pelancongan di kawasan pesisiran pantai dan pulau, ekopelancongan serta kekayaan budaya dan warisan. Kini, Iskandar Malaysia membawa transformasi kepada industri pelancongan melalui konsep berhibur bersama keluarga dan produk bernilai tinggi,” katanya.

Za’nal berkata, berikutan pembukaan taman tema seperti Legoland Malaysia dan kompleks beli-belah yang mampu memenuhi selera golongan bercita rasa tinggi seperti Johor Premium Outlets, Iskandar Malaysia menarik kedatangan ramai pelancong tempatan dan asing ke wilayah selatan negeri ini.

“Puteri Harbour Family Theme Park yang menampilkan ciri-ciri hiburan seperti Hello Kitty, Barney dan restoran tema LAT’s Place akan mula beroperasi sebelum akhir tahun ini. Semua ini akan menambah daya tarikan Iskandar Malaysia dan menarik lebih banyak keluarga mengunjunginya,” katanya.

Legoland Malaysia seluas 30.4 hektar yang menerima kunjungan lebih 10,000 pengunjung pada 15 September lalu akan membuka Legoland Water Park kepada orang ramai pada separuh kedua 2013, diikuti Legoland Hotel Park pada 2014. Khazanah Nasional Bhd adalah penggerak utama Iskandar Malaysia.

Projek pembangunan ini disasar menarik pelaburan berjumlah RM383 bilion dalam tempoh 20 tahun hingga 2025. Antara 2006 dan Jun 2012, koridor pembangunan di selatan Johor ini menerima komitmen pelaburan terkumpul berjumlah RM95.45 bilion dan angka ini dijangka mencapai RM100 bilion menjelang akhir tahun.

Za’nal yakin semakin ramai pelancong akan melawat Johor dan jumlah itu dijangka melonjak ketara tahun ini terutama berikutan kewujudan Iskandar Malaysia.

Katanya, negeri ini mencatat peningkatan ketibaan pelancong sungguh ketara iaitu daripada kira-kira 3.5 juta pada 2009 kepada 3.6 juta dan 3.7 juta pada 2010 dan 2011.

BERNAMA

Wednesday, January 11, 2012

Emas Ditemui Di Johor Bahru, Kampung Melayu Majidee Adalah Pyrite

JOHOR BAHRU - Jabatan Mineral dan Geosains negeri mengesahkan logam yang disangka emas di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini sebenarnya sejenis mineral tidak berharga yang dikenali sebagai pyrite. Walaupun ia mempunyai kilauan keemasan, warna pyrite atau juga dikenali sebagai 'emas tipu' akan bertukar hitam jika dileburkan atau selepas menjalani ujian asid. Pengarahnya, Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, pihaknya telah meninjau lokasi penemuan logam tersebut pagi semalam dan membuat kajian terhadap sampel yang diambil dari situ. "Perbezaan paling ketara antara pyrite dan emas ialah emas mempunyai kilauan lebih ketara. "Kami tidak pernah mengetahui di kawasan ini ada emas kerana kebiasaannya, ia hanya dijumpai di kawasan-kawasan tertentu contohnya di sekitar Mersing yang terkenal dengan gelaran 'Jaluran Emas'," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Friday, October 7, 2011

Sultan Johor seru jaga keamanan daripada anasir

Rakyat perlu tingkatkan ilmu, berintegriti
BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meminta rakyat Malaysia sentiasa memelihara serta menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada ancaman anasir tidak diingini.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara berdaulat, tanggungjawab mempertahankan tanah air bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab seluruh rakyat. “Suka saya mengingatkan kepada semua supaya sentiasa mempunyai semangat cintakan negara walau di mana juga berada. “Saya menyeru semua rakyat supaya menjadi manusia berilmu dan sentiasa mengamalkan nilai integriti yang tinggi supaya menjadi contoh yang baik kepada generasi masa depan,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-30, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan anugerah kepada 25 pegawai kadet terbaik sebelum mereka dan ibu bapa masing-masing dibawa menghadap baginda pada majlis pengurniaan watikah tauliah.

Seramai 1,109 pegawai kadet PALAPES dari 14 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara menerima tauliah pada majlis itu yang dimulakan dengan pemeriksaan Perbarisan Pentauliahan Diraja; perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta perbarisan mara menghadap dan pengurniaan hadiah kepada pegawai kadet terbaik setiap IPTA.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menuntut anggota PALAPES memainkan peranan sebagai peniup semangat cintakan negara di kalangan masyarakat dan menunjukkan contoh teladan baik dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada negara.

“Tugas ini amat penting kerana isu-isu keselamatan negara memerlukan kerjasama teguh daripada setiap warga Malaysia supaya sentiasa bersedia menghadapi apa juga ancaman ke atas kedaulatan tanah air.

“Anggota PALAPES diharapkan dapat menggunakan ilmu ketenteraan diterapkan sebagai panduan dan perisai dalam menghadapi apa juga rintangan dan cabaran.

“Malah tanggungjawab ini hendaklah dipikul secara berterusan bukan saja ketika saudara saudari berada di universiti, malah perjuangan ini hendaklah diteruskan selepas tamat belajar kelak,” titah baginda.

Monday, October 3, 2011

Sultan Johor Hadir Perkahwinan Noraniza Idris

JOHOR BAHRU 2 Okt. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli dengan menghadiri majlis persandingan penyanyi, Noraniza Idris dan pasangannya, Jeffri Hudi di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana di sini, malam semalam.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim kira-kira pukul 8 malam itu menjadi kenangan manis bagi pasangan mempelai, apatah lagi baginda turut berkenan menepung tawar selain meluangkan masa kira-kira sejam bagi menyaksikan persembahan zapin dan menyertai makan beradab.

Noraniza, 43, dan Jeffri, 52, ketika ditemui selepas majlis itu melahirkan kegembiraan atas kunjungan Sultan Johor ke majlis persandingan mereka sekali gus merasmikan 'Program Kahwin-kahwin Masyhur 1Malaysia'.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya serta suami sangat bersyukur kerana Sultan Johor berkenaan mencemar duli bagi menghadiri majlis persandingan perdana ini. Ia benar-benar suatu kenangan yang sangat manis bagi kami," ujar Noraniza.

Pasangan itu dinikahkan oleh Naib Kadi Johor Bahru, Abu Bakar Watak pada pukul 2.45 petang di lokasi yang sama Khamis lalu dengan mas kahwin senaskhah al-Quran dan dengan hanya sekali lafaz oleh Jeffri, mereka sah menjadi suami isteri.

Noraniza sebelum itu, sudah mengikat tali pertunangan dengan duda anak empat itu pada 22 April lalu dalam satu majlis di rumah abang sulungnya, Mohd. Arshad, 57, di Kong Kong, Masai.

Monday, August 8, 2011

Upacara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Datuk Bandar MBJB yang ke-7 Tuan Haji Burhan bin Amin 08 Ogos 2011

Upacara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Datuk Bandar MBJB yang ke-7 Tuan Haji Burhan bin Amin 08 Ogos 2011 

Upacara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru yang ke-7 , Tuan Haji Burhan bin Amin telah disempurnakan pada 08 Ogos 2011 jam 2.30 petang. Upacara ini telah dilaksanakan di Dewan Inai Merah, Aras 1, Bangunan MBJB di hadapan Wakil Rasmi YAB Menteri Besar Johor, YB Datuk Haji Ahmad Zahri bin Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan, Kerjaraya dan Kemudahan Awam Negeri Johor. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tuan Haji Obet bin Tawil.

Wednesday, July 13, 2011

Pertukaran Nama Beberapa Jalan Utama Di Kawasan MBJB

Pertukaran Nama Beberapa Jalan Utama Di Kawasan MBJB

Berkuatkuasa mulai 13 Julai 2011, pihak Kerajaan Negeri Johor telah membuat keputusan untuk menukar nama beberapa jalan  di dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Nama Jalan
Dipinda kepada
Jalan Tanjung Puteri, Jalan Tun Sri Lanang dan Jalan Tun Dr Ismail
Jalan Ismail Sultan
Jalan Abu Bakar dan Jalan Skudai (di tepi laut)
Persiaran Abu Bakar Sultan
Jalan baharu yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Tun Abdul Razak hingga ke Nusajaya
Persiaran Iskandar Sultan

Thursday, May 19, 2011

Johor Mahu Bina Benteng Laut

Usaha bentuk dataran secara semula jadi, elak hakisan: MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan pembinaan benteng khas di sepanjang pantai barat Semenanjung termasuk negeri ini, bagi membantu pesisiran pantai membentuk dataran secara semula jadi selain mengelak hakisan. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, mengakui kerajaan negeri sudah mengesan fenomena paras air laut yang meningkat di pesisiran pantai negeri ini khususnya di pantai Batu Pahat. Katanya, beberapa kawasan kebun juga ditenggelami air atau hilang disebabkan kenaikan paras air laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan pesisiran pantai Batu Pahat antara kawasan terendah di Johor.

“Sepanjang pantai barat termasuk di Johor memerlukan pembinaan benteng supaya aliran air dapat dihalang dan pada masa sama segala tanah, lumpur serta pasir dapat diperangkap dan membentuk pemendapan di pesisiran pantai," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam, yang mendedahkan beberapa bandar negara ini di kawasan rendah terutama berhampiran pantai, bakal ditenggelami air laut menjelang 2020, berikutan fenomena paras air semakin meningkat ekoran kepanasan global.

Antara kawasan berisiko ditenggelami air laut itu termasuk Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang dan Pekan, jika fenomena itu konsisten, di samping tiada langkah pencegahan dirangka dari awal.

Risiko bandar ditelan laut itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004.

Abdul Ghani berkata, proses pemendapan yang berterusan dan dalam tempoh lama, akan membantu pesisiran pantai berkenaan membentuk daratan secara semula jadi untuk mengelak hakisan malah membolehkan negara mendapatkan semula tanah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, berkata pihaknya sedia menyerahkan laporan kajian paras air laut jika diminta kerajaan negeri terbabit.

“Kami pernah membuat kajian hakisan di Senggarang dan laporannya sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut pada tahun lalu,” katanya.