Monday, October 29, 2012

Johor bersiap hadapi banjir

Ledang: Kerajaan Johor mula menghantar bekalan makanan kepada penduduk di kawasan pulau dan pedalaman negeri ini yang sering terputus hubungan akibat banjir sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pihaknya sudah memilih kedai yang akan membekalkan makanan bagi memastikan penduduk terbabit bencana itu tidak terputus bekalan.

Kita sudah mengenal pasti tempat untuk dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir dan melengkapkan segala kemudahan logistik supaya bantuan kepada mangsa banjir mudah dilakukan, katanya selepas majlis Korban Perdana Parlimen Ledang, di sini semalam.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri menerima maklumat daripada Jabatan Meteorologi mengenai ramalan kadar hujan di negeri ini yang dijangka lebih tinggi daripada paras biasa tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terkini mengenai ramalan cuaca dari jabatan berkenaan dari semasa ke semasa untuk panduan.

Katanya, semua penduduk di kawasan yang mudah dinaiki air dinasihatkan lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan dan mereka perlu segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, 31 daripada 43 lembu yang diperuntukkan bagi program korban sempena Aidiladha disembelih di kawasan masjid terbabit.

Pada majlis itu, Abdul Ghani yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang menerima sumbangan tujuh lembu dan bayaran zakat RM35,000 daripada Bank SME untuk disalurkan kepada penduduk di lima kampung.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment