Friday, October 7, 2011

Sultan Johor seru jaga keamanan daripada anasir

Rakyat perlu tingkatkan ilmu, berintegriti
BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meminta rakyat Malaysia sentiasa memelihara serta menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada ancaman anasir tidak diingini.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara berdaulat, tanggungjawab mempertahankan tanah air bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab seluruh rakyat. “Suka saya mengingatkan kepada semua supaya sentiasa mempunyai semangat cintakan negara walau di mana juga berada. “Saya menyeru semua rakyat supaya menjadi manusia berilmu dan sentiasa mengamalkan nilai integriti yang tinggi supaya menjadi contoh yang baik kepada generasi masa depan,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-30, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan anugerah kepada 25 pegawai kadet terbaik sebelum mereka dan ibu bapa masing-masing dibawa menghadap baginda pada majlis pengurniaan watikah tauliah.

Seramai 1,109 pegawai kadet PALAPES dari 14 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara menerima tauliah pada majlis itu yang dimulakan dengan pemeriksaan Perbarisan Pentauliahan Diraja; perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta perbarisan mara menghadap dan pengurniaan hadiah kepada pegawai kadet terbaik setiap IPTA.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menuntut anggota PALAPES memainkan peranan sebagai peniup semangat cintakan negara di kalangan masyarakat dan menunjukkan contoh teladan baik dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada negara.

“Tugas ini amat penting kerana isu-isu keselamatan negara memerlukan kerjasama teguh daripada setiap warga Malaysia supaya sentiasa bersedia menghadapi apa juga ancaman ke atas kedaulatan tanah air.

“Anggota PALAPES diharapkan dapat menggunakan ilmu ketenteraan diterapkan sebagai panduan dan perisai dalam menghadapi apa juga rintangan dan cabaran.

“Malah tanggungjawab ini hendaklah dipikul secara berterusan bukan saja ketika saudara saudari berada di universiti, malah perjuangan ini hendaklah diteruskan selepas tamat belajar kelak,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment