Thursday, November 22, 2012

404 disenarai penerima pingat Johor

Johor Bahru: Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai 404 penerima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, hari ini.

Tunku Tun Aminah bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar, menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).

Sempena keputeraan ke-54 tahun ini, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima.

Mereka adalah Pengarah Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Brigadier Jeneral Effendi Ab Karim; Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahman.

Seramai 16 menerima anugerah Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) termasuk Pegawai Kewangan negeri, Marsan Kassim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (II) Pengurusan, Norizan Kulob.

Penerima lain anugerah itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Burhan Amin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Pengarah Unit Perancang Ekonomi Johor, Elias Hasran.

Turut menerima SMJ ialah pegawai daerah di Johor iaitu Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar), Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulaijaya), Amran Abdul Rahman (Johor Bahru), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat) dan Ab Han Ramin (Ledang).

Penerima lain SMJ ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Chong Chee Han dan kakitangan Istana Pasir Pelangi, Ali Ismail.

Selain itu, seramai 28 menerima Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan 91 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III).

Istiadat kurniaan semua darjah dan pingat terbabit dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar, mulai jam 8 pagi ini.

No comments:

Post a Comment