Saturday, December 15, 2012

PR1MA - Rumah Mampu Milik Di Johor

8,000 rumah PR1MA di Johor Bahru

Johor Bahru: Sejumlah 8,000 unit rumah mampu milik akan dibangunkan menerusi Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Johor Bahru.

Projek berkenaan bagi menampung permintaan yang tinggi daripada kumpulan berpendapatan sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata pihaknya sedang menilai kesesuaian tanah persekutuan dan negeri di sini yang dikenal pasti untuk tujuan itu.

“Tanah dikenal pasti itu terletak di Larkin, Tampoi, Kulaijaya, Plentong dan Pasir Gudang,” katanya.

Abdul Mutalib berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pendaftaran PR1MA bagi Pembangunan Nusantara Prima di Nusajaya semalam.

Permintaan tinggi

Permintaan untuk rumah mampu milik di Johor tinggi, dan jika digabungkan dengan Kuala Lumpur dan Selangor, ia membabitkan 60 peratus daripada permintaan diterima dari seluruh negara.

Katanya, jika tanah itu tidak sesuai, PR1MA akan mengenal pasti tanah lain, termasuk milik pemaju swasta.

Beliau berkata PR1MA akan berunding dengan pemaju swasta untuk melihat sama ada mereka boleh menyediakan rumah mampu milik dalam projek masing-masing.

Mengenai pendaftaran Nusantara Prima, beliau berkata orang ramai boleh melakukannya secara dalam talian di www.pr1ma.my dan proses pengundian akan dilakukan kemudian.

Sejumlah 201 rumah mampu milik dibangunkan oleh Denia Development Sdn Bhd, yang juga sebahagian daripada 1,300 unit perumahan di Nusantara Prima, projek usaha sama dengan UEM Land Holdings Bhd, yang juga pemilik tanah.

No comments:

Post a Comment