Showing posts with label Batu Pahat. Show all posts
Showing posts with label Batu Pahat. Show all posts

Thursday, November 29, 2012

GALERI DATO’ ONN BATU PAHAT, JOHOR

GALERI DATO’ ONN BATU PAHAT, JOHOR

1. PENDAHULUAN
Bangunan yang dijadikan memorial ini terletak berhampiran kawasan Kelab Golf Batu Pahat di Jalan Kluang kira-kira 1.2 kilometer dari pejabat JKR Batu Pahat. Bangunan ini beralamat di JKR Batu Pahat 525, Jalan Dato’ Mohd. Shah, Batu Pahat Johor. Ia merupakan bangunan kuarters kediaman pegawai kerajaan yang telah dibina pada tahun 1938 dengan kos pembinaan pada masa itu ialah RM15,500.00. Bangunan tersebut berkeluasan 4487.50 kaki persegi. Bangunan ini pernah menjadi kediaman rasmi Allahyarham Dato’ Onn Jaafar ketika beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat suatu ketika dahulu.

Bangunan ini pernah digunakan oleh Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) – Regimen 501 Askar Wataniah sebagai markas latihan. Seterusnya bangunan ini dibaikpulih dan diubahsuai untuk dijadikan sebagai bangunan memorial. Bangunan yang telah dibaikpulih oleh JKR dengan kos sebanyak RM600,000.00 ini diserahkan kepada Yayasan Warisan Johor dengan rasminya pada 6 Ogos 2007 daripada JKR Negeri kepada Yayasan Warisan Johor dengan disaksikan oleh wakil pegawai Daerah Batu Pahat.  

Bangunan memorial ini telah diilhamkan oleh Y.A.B. Dato’ Hj. Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor sempena lawatan Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke Batu Pahat ketika beliau merasmikan Majlis Pengasas Sebuah Bangsa pada bulan Mac 2006 yang lalu. 

Di dalam bangunan ini telah menempatkan ruangan seperti Galeri Utama, Ruang-ruang Pameran, Bilik Tayangan, Kedai Cenderahati, Bilik Solat, Bilik Mesyuarat dan Ruang pameran dapur . Sebahagian bangunan ini telah mengalami kebakaran sebelum sempat dirasmikan sebagai Memorial Dato’ Onn Jaafar semasa dalam proses pengisian bahan pameran. Kebakaran yang dipercayai akibat litar pintas berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada hari Jumaat 11 Julai 2008.

2. LATAR BELAKANG

Dato’ Onn Jaafar adalah tokoh unggul dan wira bangsa. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai ahli politik yang terkemuka tetapi turut tersohor sebagai pentadbir yang hebat, tokoh wartawan, ahli pemikir dan pejuang kemerdekaan. Tidak dapat dipertikai bahawa Dato’ Onn merupakan wira Melayu yang terunggul selepas Tun Perak (pada zaman kegemilangan Melaka) kerana Dato’ Onn berjaya menyatukan orang-orang Melayu seluruh negara menentang gagasan Malayan Union dan menyelamatkan TanaMelayu daripada menjadi tanah jajahan British. Walaupun tidak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama, sesungguhnya Dato’ Onn Jaafar adalah pengasas kemerdekaan dan pembentukkan sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Beliau merupakan pengasas UMNO dan ketuanan Melayu serta pemimpin yang berpandangan jauh dan sentiasa berusaha untuk menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang maju dalam semua bidang dan meninggikan martabat orang Melayu dalam menempuh tuntutan zaman. Sebagai pengasas UMNO yang berdepan dengan penjajah British, Parti komunis Malaya, golongan radikal Melayu dan orang bukan Melayu yang sentiasa menggugat dan menekan ketuanan Melayu, beliau tetap berupaya menjadikan UMNO sebuah parti yang unggul, bermaruah dan terbilang.

3. OBJEKTIF

3.1 Untuk memelihara segala warisan bersejarah termasuk rekod-rekod, surat-surat, dokumen-dokumen, ucapan-ucapan, buku-buku, cenderamata, anugerah-anugerah kebesaran, artifak dan seumpamanya sepanjang hayat kepunyaan tokoh tersebut.

3.2 Menjadi tempat pengumpulan, penyimpanan, pemuliharaan dan pameran khazanah serta koleksi Dato’ Onn.

3.3 Untuk mengadakan segala kemudahan-kemudahan penyimpanan dan pemuliharaan, pameran, pendidikan, rujukan dan penyelidikan mengenai jasa Dato’ Onn.

3.4 Bagi mengenang jasa dan pengiktirafan kepada Dato’ Onn dan kepimpinan Johor dalam pelbagai bidang yang membawa kepada pembangunan untuk menjadi inspirasi dan kebanggaan anak bangsa dan generasi masa depan.

3.5 Dapat menyumbang kepada pembangunan pelancongan negeri Johor khususnya daerah Batu Pahat di samping menonjolkan sejarah, warisan serta bahan ilmu pengetahuan.

4. PENGISIAN GALERI DATO’ ONN

4.1 Bersesuaian dengan cadangan bangunan tersebut yang akan dijadikan sebagai Galeri Dato’ Onn maka dicadangkan supaya dapat diisi dengan pameran berasaskan Pameran Dato’ Onn: Pengasas Sebuah Negara Bangsa. Antara pengisiannya ialah:
  • Dato’ Onn dan keluarga
  • Pendidikan
  • Kerjaya
  • Pengasas PNSJ dan UMNO
  • Penentangan Malayan Union
  • Era Persekutuan Tanah Melayu 1948
  • Perjuangan bersama NGO dan Parti Pembangkang
  • Keratan Akhbar dan kata-kata hikmat
  • Pergerakan kaum Ibu – Datin Halimah
  • Perginya Wira yang unggul

4.2 Bahan-bahan yang akan dipamerkan termasuklah; gambar-gambar peristiwa, lukisan, cenderamata, keris, bendera, buku-buku, majalah, keratan akhbar dan seumpamanya yang berkaitan dengan Dato’ Onn.

Thursday, May 19, 2011

Johor Mahu Bina Benteng Laut

Usaha bentuk dataran secara semula jadi, elak hakisan: MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan pembinaan benteng khas di sepanjang pantai barat Semenanjung termasuk negeri ini, bagi membantu pesisiran pantai membentuk dataran secara semula jadi selain mengelak hakisan. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, mengakui kerajaan negeri sudah mengesan fenomena paras air laut yang meningkat di pesisiran pantai negeri ini khususnya di pantai Batu Pahat. Katanya, beberapa kawasan kebun juga ditenggelami air atau hilang disebabkan kenaikan paras air laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan pesisiran pantai Batu Pahat antara kawasan terendah di Johor.

“Sepanjang pantai barat termasuk di Johor memerlukan pembinaan benteng supaya aliran air dapat dihalang dan pada masa sama segala tanah, lumpur serta pasir dapat diperangkap dan membentuk pemendapan di pesisiran pantai," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam, yang mendedahkan beberapa bandar negara ini di kawasan rendah terutama berhampiran pantai, bakal ditenggelami air laut menjelang 2020, berikutan fenomena paras air semakin meningkat ekoran kepanasan global.

Antara kawasan berisiko ditenggelami air laut itu termasuk Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang dan Pekan, jika fenomena itu konsisten, di samping tiada langkah pencegahan dirangka dari awal.

Risiko bandar ditelan laut itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004.

Abdul Ghani berkata, proses pemendapan yang berterusan dan dalam tempoh lama, akan membantu pesisiran pantai berkenaan membentuk daratan secara semula jadi untuk mengelak hakisan malah membolehkan negara mendapatkan semula tanah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, berkata pihaknya sedia menyerahkan laporan kajian paras air laut jika diminta kerajaan negeri terbabit.

“Kami pernah membuat kajian hakisan di Senggarang dan laporannya sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut pada tahun lalu,” katanya.