Thursday, May 19, 2011

Johor Mahu Bina Benteng Laut

Usaha bentuk dataran secara semula jadi, elak hakisan: MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan pembinaan benteng khas di sepanjang pantai barat Semenanjung termasuk negeri ini, bagi membantu pesisiran pantai membentuk dataran secara semula jadi selain mengelak hakisan. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, mengakui kerajaan negeri sudah mengesan fenomena paras air laut yang meningkat di pesisiran pantai negeri ini khususnya di pantai Batu Pahat. Katanya, beberapa kawasan kebun juga ditenggelami air atau hilang disebabkan kenaikan paras air laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan pesisiran pantai Batu Pahat antara kawasan terendah di Johor.

“Sepanjang pantai barat termasuk di Johor memerlukan pembinaan benteng supaya aliran air dapat dihalang dan pada masa sama segala tanah, lumpur serta pasir dapat diperangkap dan membentuk pemendapan di pesisiran pantai," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam, yang mendedahkan beberapa bandar negara ini di kawasan rendah terutama berhampiran pantai, bakal ditenggelami air laut menjelang 2020, berikutan fenomena paras air semakin meningkat ekoran kepanasan global.

Antara kawasan berisiko ditenggelami air laut itu termasuk Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang dan Pekan, jika fenomena itu konsisten, di samping tiada langkah pencegahan dirangka dari awal.

Risiko bandar ditelan laut itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004.

Abdul Ghani berkata, proses pemendapan yang berterusan dan dalam tempoh lama, akan membantu pesisiran pantai berkenaan membentuk daratan secara semula jadi untuk mengelak hakisan malah membolehkan negara mendapatkan semula tanah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, berkata pihaknya sedia menyerahkan laporan kajian paras air laut jika diminta kerajaan negeri terbabit.

“Kami pernah membuat kajian hakisan di Senggarang dan laporannya sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut pada tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment